提供:PR Newswire
※本記事は、当サイトの提携先である「PR Newswire」からのプレスリリースを掲載したものです。
SHENZHEN, China, 24 November 2026 /PRNewswire/ — TÜV SÜD secara rasmi menerbitkan Kertas Putih mengenai Penggredan Keupayaan dan Prestasi Unit dan Sistem Penyimpanan Tenaga Pembentuk Grid. TÜV SÜD turut menganugerahkan pensijilan L4 yang pertama di dunia bagi keupayaan pembentukan grid tertinggi kepada Platform ESS Pembentuk Grid Rentetan Pintar Huawei. Ini merupakan kali pertama di dunia sistem penyimpanan tenaga (ESS) lulus pensijilan keupayaan pembentukan grid L4. Ini menandakan peralihan penyimpanan tenaga pembentuk grid daripada pengesahan teknikal kepada fasa baharu kematangan industri, yang menyaksikannya diseragamkan, boleh diukur secara kuantitatif dan boleh diperakui. Pensijilan ini menetapkan penanda aras baharu bagi kestabilan dan daya tahan sistem kuasa dengan kadar penembusan tenaga boleh baharu yang tinggi.
Penyimpanan Tenaga Pembentuk Grid Berkembang ke Arah Sokongan Sistem, dan Rangka Kerja Penilaian Keupayaan yang Seragam Amat Diperlukan
Perkadaran tenaga boleh baharu dan peranti elektronik kuasa dalam sistem kuasa terus meningkat. Justeru, sumber berasaskan teknologi baharu perlu secara beransur-ansur mengambil alih fungsi inersia, sokongan voltan, peredaman ayunan kuasa dan keupayaan kestabilan lain yang disediakan oleh penjana segerak tradisional. Sistem penyimpanan tenaga pembentuk grid menyepadukan pengawalseliaan tenaga dengan keupayaan sokongan grid aktif. Sistem ini berkembang daripada peranti penyimpanan tenaga tradisional menjadi sumber kestabilan yang penting bagi sistem kuasa baharu.
Pada masa yang sama, peranti yang berbeza menunjukkan perbezaan ketara dari segi skop sokongan, prestasi dinamik, keupayaan beroperasi secara bebas daripada grid utama dan pemulihan sistem. Industri amat memerlukan rangka kerja penilaian yang jelas untuk menjawab persoalan "apakah keupayaan pembentukan grid yang tersedia, apakah tahap yang boleh dicapai dan sejauh mana tanggungjawab terhadap sistem boleh dipikul."
Sistem Keupayaan Pembentukan Grid Lima Tahap: Menjadikan Sumbangan kepada Sistem Boleh Diukur dan Disahkan
Kertas putih yang baharu diterbitkan itu mencadangkan model kematangan keupayaan pembentukan grid lima tahap, daripada L0 hingga L4. Model ini memusatkan penilaiannya pada sumbangan sebenar peranti dan loji kepada sistem kuasa. Ia turut mentakrifkan dengan jelas laluan evolusi keupayaan daripada pengikutan grid tradisional, melalui pembentukan grid voltan setempat, pembentukan grid bantuan serantau dan pembentukan grid domain penuh bersyarat, hinggalah kepada pembentukan grid domain penuh termaju. Fokus penilaian telah diperluas daripada menentukan sama ada satu fungsi tersedia kepada liputan keupayaan, tahap prestasi, tahap pengesahan dan sumbangan kepada daya tahan sistem. Ini membolehkan penilaian berasaskan bukti terhadap pelbagai keupayaan pembentukan grid serta pemilihan tahap yang sesuai untuk keperluan aplikasi yang berbeza-beza.
Kertas putih ini memberi tumpuan kepada keupayaan teras seperti pembentukan grid, sokongan frekuensi, sokongan voltan, sokongan kekuatan sistem dan sokongan ketika berlaku kerosakan. Dengan mengambil kira faktor seperti kelajuan tindak balas, kekuatan sokongan dan had operasi, ia mengalihkan penilaian pembentukan grid daripada penerangan fungsi kepada pengesahan prestasi yang boleh diukur. Ia turut memperluas keperluan pengesahan daripada peranti individu kepada loji.
Daripada L0 hingga L4: Keupayaan Pembentukan Grid Meningkat dari Satu Tahap ke Tahap Seterusnya
Berdasarkan sumbangan sebenar peranti dan loji kepada sistem kuasa, kertas putih ini membahagikan keupayaan pembentukan grid kepada lima tahap:
- L0 Pengikutan Grid Tradisional: bergantung pada rujukan grid luaran untuk beroperasi dan tidak mempunyai keupayaan pembentukan grid secara autonomi.
- L1 Pembentukan Grid Voltan Setempat: membentuk voltan secara autonomi dan menyediakan sokongan voltan setempat.
- L2 Pembentukan Grid Bantuan Serantau: meningkatkan lagi kekuatan sistem serta menyokong operasi grid lemah dan tindak balas terhadap kerosakan.
- L3 Pembentukan Grid Domain Penuh Bersyarat: menyediakan sokongan inersia dan frekuensi serta membolehkan operasi secara bebas daripada grid utama dan penghidupan semula asas tanpa bekalan kuasa luaran (black start); sistem ini masih memerlukan sokongan daripada sebilangan kecil mesin segerak.
- L4 Pembentukan Grid Domain Penuh Termaju: turut menyediakan keupayaan penindasan ayunan jalur lebar, penyelarasan pembentukan grid berbilang unit dan pemulihan sistem sepenuhnya, dengan matlamat membina daya tahan pada peringkat sistem.
Huawei Menerima Pensijilan L4: Keupayaan Pembentukan Grid pada Peringkat Sistem Mendapat Pengiktirafan Pihak Ketiga
L4 "Pembentukan Grid Domain Penuh Termaju" merupakan tahap tertinggi dalam model ini. Selain keupayaan sokongan voltan, frekuensi, kekuatan sistem dan sokongan ketika berlaku kerosakan, tahap ini turut memerlukan keupayaan penindasan ayunan jalur lebar, pemulihan sistem sepenuhnya dan penyelarasan pembentukan grid berbilang unit. Ia memberi tumpuan kepada prestasi pada peringkat loji, termasuk penghidupan semula termaju tanpa bekalan kuasa luaran, peralihan lancar antara mod bersambung grid dan luar grid serta keupayaan untuk terus beroperasi ketika berlaku kerosakan dalam mod luar grid.
Platform ESS Pembentuk Grid Rentetan Pintar Huawei telah memperoleh pensijilan L4, menunjukkan bahawa ia memenuhi keperluan tertinggi model tersebut bagi sokongan sistem, kestabilan dinamik dan pemulihan secara terselaras. Dengan pensijilan ini, tahap tertinggi keupayaan pembentukan grid bukan lagi sekadar sebahagian daripada rangka kerja penilaian, sebaliknya merupakan pencapaian teknikal yang diperakui oleh pihak ketiga. Ini juga bermakna sistem penyimpanan tenaga pembentuk grid boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menstabilkan grid dan memulihkan bekalan kuasa ketika berlaku gangguan kompleks, pemisahan sistem dan gangguan bekalan elektrik. Keupayaan ini meletakkan asas bagi pengoperasian sistem kuasa masa hadapan yang menggunakan 100% tenaga boleh baharu.
Daripada penemuan teknologi kepada penggredan keupayaan, dan daripada pengesahan kejuruteraan kepada pensijilan pihak ketiga, penyimpanan tenaga pembentuk grid sedang bergerak pantas ke arah aplikasi berskala besar. Penerbitan kertas putih ini dan pensijilan L4 yang pertama di dunia menyediakan titik rujukan keupayaan yang jelas serta asas untuk aplikasi kepada industri. Ini akan terus memacu pembangunan peralatan, piawaian, kejuruteraan dan pasaran secara terselaras, serta membantu membina sistem kuasa baharu yang lebih selamat, lebih stabil dan lebih berdaya tahan.

