提供:PR Newswire
※本記事は、当サイトの提携先である「PR Newswire」からのプレスリリースを掲載したものです。
KUALA LUMPUR, Malaysia, 24 November 2026 /PRNewswire/ — BOH Plantations (BOH) hari ini mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi menyokong usaha pembangunan vaksin kanser berasaskan DNA pertama buatan Malaysia, CRMY-VAC-100. Inisiatif perintis ini diterajui oleh Cancer Research Malaysia (CRMY), satu-satunya organisasi bebas badan bukan kerajaan di negara ini yang memberi tumpuan khusus dalam penyelidikan, pencegahan dan pengesanan awal kanser serta meningkatkan akses kepada rawatan. Program vaksin ini, kini bersedia untuk memasuki Fasa Pertama ujian klinikal selepas 14 tahun menjalani penyelidikan.

Dari Kiri ke Kanan : Prof Dr Cheong Sok Ching (Ketua Pegawai Saintifik, CRMY), Fikrie Hashim (Ketua Pegawai Pengumpulan Dana CRMY), Rosnah Zakaria (Ketua Pegawai Sumber Manusia-Hal Ehwal Korporat, BOH), M Ishak Aderis (Pengurus Sumber Manusia, BOH)
Ini merupakan satu pencapaian penting dalam landskap penjagaan kesihatan dan sains negara, yang membawa Malaysia selangkah lebih dekat ke arah menghasilkan penyelesaian tempatan yang khusus untuk populasi Asia.
Sumbangan BOH itu disampaikan oleh Puan Rosnah Zakaria, Ketua Pegawai Sumber Manusia-Hal Ehwal Korporat BOH, sebagai simbol komitmen bersama dalam memajukan inovasi saintifik, mengukuhkan keupayaan penyelidikan tempatan dan menyokong usaha perintis yang berpotensi membentuk masa hadapan untuk pencegahan, pengesanan dan rawatan kanser di Malaysia.
Kanser kekal sebagai salah satu cabaran kesihatan awam yang paling membimbangkan di Malaysia. Asia mencatatkan kira-kira 50% daripada kes kanser global dan 60% daripada kematian akibat kanser di seluruh dunia. Namun, kurang daripada 10% kajian kanser global melibatkan populasi Asia. Jurang ini menyebabkan banyak garis panduan saringan, pendekatan rawatan dan penilaian risiko dibangunkan berdasarkan kajian terhadap populasi yang tidak mencerminkan sepenuhnya profil unik demografi Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik.
Sepanjang 26 tahun yang lalu, CRMY telah berusaha untuk merapatkan jurang ini melalui pembangunan penyelidikan, teknologi dan inovasi rawatan yang bersesuaian dengan keperluan populasi Asia, khususnya rakyat Malaysia.
Program vaksin CRMY-VAC-100 merupakan salah satu pencapaian saintifik terbesar dan terpenting bagi CRMY setakat ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha membangunkan penyelesaian kanser yang disesuaikan dengan keperluan populasi Asia.
"Sebagai sebuah syarikat tempatan dengan warisan yang menjangkau hampir satu abad, inisiatif ini selaras dengan pendekatan kelestarian BOH yang menyeluruh, yang mengiktirafkan kesejahteraan komuniti merupakan asas penting untuk membina daya tahan sosial dan ekonomi dalam jangka panjang.
"Pada asasnya, kelestarian berkait rapat dengan kesejahteraan manusia. Justeru, selain mengutamakan pemeliharaan alam sekitar sebagai teras perniagaan kami, kami juga komited untuk menyokong dan memainkan peranan dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.
"Penglibatan kami dalam penyelidikan saintifik inovatif yang diterajui oleh rakyat Malaysia ini, membolehkan kami turut menyumbang kepada penyelesaian tempatan yang bersasar bagi menangani cabaran sebenar yang dihadapi oleh negara kita, di samping mewujudkan impak positif yang mampan terhadap kesihatan rakyat dalam jangka panjang.
"Kanser boleh menjejaskan mana-mana keluarga daripada segenap lapisan masyarakat. Ini termasuklah golongan yang bekerja keras, berdaya saing dan berdedikasi dalam membina masa depan Malaysia. Sokongan kami kepada Cancer Research Malaysia dan usaha mereka membangunkan vaksin kanser pertama buatan Malaysia merupakan satu bentuk pelaburan ke arah masa hadapan yang lebih mampan untuk seluruh rakyat negara ini di samping menyokong penyelidikan saintifik bertaraf antarabangsa yang diterajui oleh para penyelidik Malaysia, untuk rakyat Malaysia," kata Rosnah.
Menghargai sokongan dan sumbangan BOH, Encik Fikrie Hashim, Ketua Pegawai Pengumpulan Dana Cancer Research Malaysia, berkata, "Setiap kejayaan besar bermula dengan individu yang percaya bahawa perubahan boleh dicapai. Pencapaian penting ini adalah bukti kedermawanan para penderma, rakan kerjasama serta penyokong kami yang terus melabur dan menyemarakkan harapan melalui penyelidikan. Kami berterima kasih kepada BOH atas kerjasama dan komitmennya dalam memajukan penyelidikan yang bakal mencetuskan kejayaan bermakna, selain menambah baik keberkesanan rawatan dan penjagaan untuk begitu banyak keluarga yang terkesan akibat kanser."
Inisiatif ini bertujuan untuk menyumbang kepada warisan berkekalan yang akan memperkukuh kesihatan awam, memajukan inovasi saintifik tempatan dan membantu membina sebuah negara yang lebih sihat dan berdaya tahan.
